PEMAKAIAN tudung labuh yang menutup dada sering kali dianggap sebagai gaya yang ketinggalan zaman atau kurang moden.
Banyak orang melihat tudung yang menutupi dada sebagai kurang sesuai dengan trend fesyen semasa yang lebih mengutamakan gaya ringkas dan praktikal.
Namun, tindakan pempengaruh, Puteri Rania Mahmoud yang berkongsi dua gaya tudung labuhnya di TikTok telah mengubah persepsi tersebut dan menjadikannya satu trend pada musim perayaan ini.
Dengan menggunakan satu shawl (selendang), Puteri Rania menghasilkan gaya tudung yang labuh depan dan belakang secara dua penggayaan.
Lebih menakjubkan lagi, trend tudung menutup dada yang dipanggil ‘Gaya Tudung Rania’ ini telah tular sehingga ke Indonesia.
Menurut Puteri Rania, gaya tudung yang digayakan sebenarnya bukanlah idea asalnya, tetapi lebih kepada adaptasi daripada gaya yang sudah ada.
“Untuk gaya tudung pertama, saya mengambil inspirasi daripada gaya tudung labuh Nurina Izz Zayani, lebih dikenali sebagai Izz Pak Mat Western.
“Manakala gaya kedua diambil daripada Myra Zainal. Cuma, nasib saya baik kerana video saya viral dan menjadi ikutan ramai,” katanya kepada CitaRasa.

Rania mula berkongsi tutorial tudung secara suka-suka di media sosial miliknya pada tahun 2022, namun tidak menyangka video yang dimuat naik pada 5 Disember lalu itu menjadi tular.
Video memaparkan kombinasi dua gaya tudung labuh menutupi dada serta panjang di bahagian belakang tersebut mencapai lebih 12.8 juta tontonan.
Jelas Rania, gaya tudung ini sesuai dipadankan dengan jubah, baju kurung dan gaya kasual, memberikan penampilan sederhana, namun elegan.
“Saya suka menggunakan chiffon berat kerana mudah dibentuk dan sesuai dengan muka saya berbanding kain licin seperti satin.
“Hasilnya, netizen daripada pelbagai lapisan usia meniru gaya tudung ini kerana ia fleksibel dan sesuai dengan pelbagai jenis penggayaan baju,” katanya.
Biarpun terdapat kata-kata negatif yang mengatakan fenomena gaya tudung ini sekadar trend, wanita dari Ampang, Selangor, ini mahu pengikutnya kekal istiqamah.
Katanya, trend yang membuatkan seseorang selesa dengan pemakaian menepati syariat seharusnya dirai untuk menjadi contoh kepada Muslimah lain.
Salah seorang pengikut Rania dari Jogjakarta, Indonesia, Barawatimita, 28, berkata, video Rania muncul di For You Page (FYP) miliknya dan dia tertarik dengan gaya yang anggun, sopan dan sesuai dengan prinsipnya dalam berpakaian.
“Biarpun banyak selebriti Indonesia yang memakai jilbab syar’i menutup dada, menurut saya tidak banyak yang bergaya moden.
“Sebagai contoh, Oki Setiana Dewi. Saya rasa gaya Rania yang lebih elegan dan moden perlahan-lahan diterima dan semakin popular di Indonesia,” katanya.
Sementara itu, gadis dari Alor Setar, Kedah, Nur Fasya Haifa, 22, memilih gaya tudung Rania kerana mudah dan ringkas tetapi masih menonjolkan sisi ayu dan elegan seorang wanita Muslimah.
“Gaya tudung Rania tidak susah kerana saya hanya memerlukan kurang lima minit untuk bersiap.
“Saya percaya apabila berpakaian sopan dan patuh syariah, kita dapat menyerlahkan keayuan seorang wanita, sesuai dengan suasana hari raya penuh keberkatan,” katanya.














