LIVERPOOL – Mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris seakan hampir pasti menjadi milik Liverpool selepas kelab itu meraih kemenangan 2-1 ke atas West Ham United di Anfield, sebentar tadi.
Bagaimanapun The Reds yang kini memiliki kelebihan 13 mata berbanding Arsenal di tangga kedua mengharungi detik cemas apabila West Ham United memperoleh jaringan penyamaan di hujung permainan sebelum Virgil van Dijk muncul wira tuan rumah.
Terdahulu, Luis Diaz yang terlebih dulu memiliki peluang di awal permainan berjaya meletakkan Liverpool di depan seawal minit ke-18 selepas menyempurnakan umpanan Mohamed Salah.
Jaringan itu tidak beri kesan besar buat West Ham United yang masih mampu memberikan tentangan namun usaha dilakukan masih gagal membuahkan hasil.
Walaupun mempunyai kelebihan penguasaan permainan di babak pertama, tuan rumah juga tidak mampu menghadirkan tambahan jaringan dan hanya memiliki kelebihan satu gol ketika menuju ke bilik persalinan.
Minit ke-67, Jarrod Bowen yang berjaya melepasi perangkap offsaid sepatutnya mampu menghasilkan jaringan buat West Ham United namun penjaga gol The Reds, Alisson Becker bertindak cemerlang untuk melakukan halangan.
Salah faham yang berlaku diantara Virgil van Dijk pada minit ke-86 menyaksikan bintang pertahanan tuan rumah, Andy Robertson tertampan bola ke gawang sendiri.
Bagaimanapun keceriaan West Ham hanya bertahan tiga minit apabila Van Dijk menebus kesilapan apabila menanduk masuk jaringan kedua Liverpool sekaligus menoktahkan tiga mata penting buat The Reds.
Selepas mengharungi 32 perlawanan, Liverpool kini mengutip 76 mata dan hanya memerlukan dua kemenangan saja lagi untuk mengesahkan kejuaraan musim ini. – KOSMO! ONLINE