JOHOR BAHRU – Syarikat subsidiari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holding Berhad, BHPetrol berhasrat untuk melabur RM90 juta bagi membina kira-kira 30 stesen minyak di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azizul Azily Ahmad berkata, stesen minyak tersebut disasarkan untuk dibina di kawasan luar bandar dalam tempoh lima tahun ini.
Katanya, ini bagi memastikan bekalan minyak bersubsidi dapat dinikmati oleh setiap golongan yang layak di negara ini termasuk untuk anggota pertahanan negara yang berkhidmat di seluruh pelusuk tanah air.
“Sebagai anak syarikat kepada LTAT, BHPetrol terus melangkah ke hadapan secara proaktif seiring dengan hasrat dan komitmen kerajaan terutamanya dalam memastikan bekalan minyak bersubsidi dapat dinikmati oleh setiap golongan yang layak.
“Usaha pembukaan lebih banyak rangkaian stesen minyak di lokasi strategik dan luar bandar adalah bukti iltizam BHPetrol dalam menghapuskan kebergantungan terhadap minyak dalam botol selain memperluas akses rakyat kepada kemudahan bekalan bahan api yang selamat, sah dan bersubsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri, di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Februari lalu, BHPetrol dilaporkan bersetuju melabur sebanyak RM45 juta bagi pembinaan 10 stesen minyak di kawasan luar bandar. – KOSMO! ONLINE