KUALA NERANG – “Umi seorang yang lemah lembut, tetapi tegas. Arwah selalu pesan supaya kami sentiasa memaafkan orang walaupun dihina dan dibenci.”
Demikian kata Saifi Nasfati Che Noranuwi, 35, berhubung pesanan yang dititipkan ibunya Allahyarham Hamidah Darus, 61, yang meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah pada hari raya keempat, 3 April lalu.
Allahyarham Hamidah yang merupakan pesara guru ‘dijemput ajal’ ketika sujud sewaktu solat subuh di Tanah Suci.
“Saya dan empat beradik lain akan sentiasa mengingati setiap pesanan arwah ibu termasuklah menjaga solat lima waktu, jangan tinggalkan al-Quran selain sentiasa memaafkan orang lain,” katanya di sini hari ini.
Menurut Saifi, semasa hayatnya ibunya terlibat dalam kerja-kerja sukarela menguruskan jenazah di sebuah masjid di sini.
“Satu perkara lagi umi memang selalu sebut nak meninggal dunia di Mekah, tidak sangka kata-kata itu doa. Kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Jelasnya, arwah ibunya begitu teruja hendak mengerjakan umrah kali ini walaupun terpaksa pergi bersendirian tanpa ahli keluarga.
“Kami ajak umi pergi hujung tahun ini tetapi dia sudah tidak sabar hendak ke Tanah Suci. Arwah berangkat ke Mekah pada 2 Mac lalu dan ‘pergi’ pada 3 April tiga hari sebelum dijadualkan pulang ke tanah air,” ujarnya.
Tambahnya, dia sekeluarga pernah menunaikan umrah bersama arwah ibunya pada 2023 dan arwah pernah beberapa kali menunaikan umrah sebelum ini selain ibadah haji pada tahun lalu.
Jenazah Hamidah disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah. – KOSMO! ONLINE