PETALING JAYA – Pasukan Sri Pahang FC melakar kemenangan kedua dalam tempoh lima hari selepas menewaskan Perak FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad The Bos Gaurus dilihat lebih garang apabila meraih dua percubaan menarik menerusi Luciano Guaycochea dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar tetapi gagal menerjah jaring.
Skuad Tok Gajah turut memberi ancaman buat pasukan tuan rumah pada minit ke-42 menerusi pemain naturalisasi, Sergio Aguero tetapi berjaya ditepis penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli.
Bersambung pada babak kedua, perubahan taktikal yang dilakukan oleh pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad untuk memasukkan T. Saravanan sebagai pemain gantian membuahkan hasil apabila meledak gol tunggal 10 minit sebelum wisel penamat ditiupkan.
Pada aksi Liga Super Selasa lepas, skuad Sri Pahang turut meraih tiga mata berharga dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-1 di laman sendiri.
Dua keputusan tersebut memberikan tonik terbaik buat Tok Gajah yang bakal mengharungi perlawanan getir final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April depan. – KOSMO! ONLINE