PETALING JAYA – Ya Allah, sedihnya tengok rumah kampung terbiar macam tu. Mesti dulu meriah adik-beradik membesar.”
Itu antara respon orang ramai menerusi perkongsian video @darilensa.kc di media sosial, yang tersentuh hati melihat paparan rumah-rumah kampung ditinggalkan kosong dan ada di antaranya sudah mulai usang.
Menggunakan profil @AbgBajuMelayu, individu itu berkata, dia kini tetap mengambil tanggungjawab membersihkan rumah di kampung walaupun ia bukan miliknya.
“Rumah pusaka arwah orang tua bukan milik saya, tetapi saya tetap balik kampung bersihkan. Tak nak terbiar dan roboh,” katanya menerusi ruangan komen pada perkongsian video berkenaan.
Malah, ada yang mengatakan, rumah di kampung kebiasaannya akan hilang seri apabila kedua-dua ibu bapa sudah tiada.
“Apabila mak dan ayah sudah tak ada, rumah pun terus hilang serinya. Al-fatihah pada yang telah pergi,” kata pengguna yang lain.
“Sedihnya tengok keadaan rumah pusaka macam ni bila kedua-dua orang tua dah kembali ke alam abadi,” komen @ZulfarizalAzlan.
“Sayangnya, sedih tengok. Mungkin anak-anak sibuk. Nak betulkan pun banyak modal,” ujar @Fatimahyan pula. – KOSMO! ONLINE