SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh satu bulan.
Ini selepas tanah seluas empat hektar itu telah dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab dengan membina kuil dan tokong.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia akan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa semua tanah di bawah kelolaan JAIS perlu dijaga daripada sebarang pencerobohan.
Tegasnya, semua tanah warta kelolaan JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang dengan kerjasama PDT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya berada di tapak tanah JAIS itu adalah individu yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.
Tambahnya, PDT Sepang telah memberi penempatan baru bagi aktiviti pihak tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL).
“Pada tahun 2007, Kerajaan Negeri mengarahkan pengosongan tanah oleh pihak tersebut bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan oleh individu atas arahan berkenaan.
“Kerajaan negeri telah mewartakan tanah dengan keluasan empat hektar itu pada 2011 bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian daripada tanah tersebut adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh pihak terbabit tanpa mengeluarkan pihak yang menduduki tanah,” ujarnya.
Tegas beliau, susulan pewartaan itu, JAIS menganggap tanah tersebut adalah kosong daripada sebarang aktiviti dan pembinaan bangunan atau premis.
Namun, katanya, JAIS telah mengesan wujud aktiviti dan pembinaan premis di atas tanah pada tahun lalu bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada tahun depan.
Sehubungan itu, JAlS telah mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah.
“JAlS berpandangan bahawa laporan polis tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan pemninaan premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAlS.
“Namun, JAlS akui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat dari JAlS,” katanya. – KOSMO! ONLINE