TELUK INTAN – Sebanyak 1,839 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM183,318.20 yang disimpan secara haram dirampas pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan ke atas sebuah stor semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, penemuan pada pukul 12.35 tengah hari itu dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan dan pemantauan selama seminggu terhadap premis berkenaan.
“Kita menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga pemilik stor.
“Pemeriksaan menjumpai 60 tong berisi LPG 14 kilogram (kg) jenama MyGaz, 110 tong LPG 14kg Mira, 141 tong LPG 14kg Petronas, 1,002 tong LPG 12kg Petron dan 12 tong LPG 50kg Petron,” katanya di sini hari ini.
Turut ditemui sebanyak 132 tong kosong LPG 14kg MyGaz, 332 tong kosong LPG 14kg Mira dan 50 tong kosong LPG 50kg Petron.
Beliau berkata, pemilik stor gagal mengemukakan dokumen kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan.
“Sehubungan itu, tindakan menyita barangan itu dilakukan melibatkan rampasan berjumlah RM183,318.20,” katanya.
Kes disiasat di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961dan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, jika sabit kesalahan.
“Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE