LIVERPOOL – Demi mengekalkan dua bintang utama mereka, Virgil Van Dijk dan Mohamed Salah, Liverpool dilaporkan sanggup mengetepikan peraturan yang digariskan oleh pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG).
Menurut laporan, kedua-dua pemain itu berada dalam fasa akhir perbincangan lanjutan kontrak selama dua tahun yang akan mengekalkan Salah sehingga usia 33 tahun dan Van Dijk hingga 34 tahun.
Difahamkan, dasar sebelum ini yang digubal oleh bekas pengarah sukan, Michael Edwards menetapkan bahawa mereka tidak akan memberikan lanjutan kontrak kepada pemain yang dianggap sudah berusia.
Bagaimanapun, pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano melaporkan kelab itu sudah bersedia untuk memeterai perjanjian itu dan menganggap Van Dijk dan Salah sebagai aset jangka panjang walaupun usia mereka meningkat.
Menariknya, Michael Edwards yang kini kembali sebagai Ketua Eksekutif Bahagian Bola Sepak FSG, tidak membantah keputusan tersebut, malah dilaporkan menyokong pengecualian dasar untuk dua pemain tersebut.
Sementara itu, Salah dan Van Dijk secara terbuka menyuarakan keinginan untuk terus kekal bersama Liverpool, berbeza dengan spekulasi mengenai Trent Alexander-Arnold yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.
Keputusan itu sekali lagi membuktikan di sebalik data dan dasar, tradisi masih memainkan peranan besar dalam kelab seperti Liverpool iaitu di mana legenda sebenar tetap diberi tempat istimewa. – AGENSI