KAJANG – Pihak polis sudah merakam percakapan lima individu bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan di kawasan Batu 9, Cheras.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lima individu itu membabitkan penghuni dan saksi awam.
Mengulas lanjut, Naazron berkata, pemilik dan penjaga premis yang ditahan semalam direman sehari di bawah Seksyen 15 Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis menahan pasangan suami isteri yang juga pemilik dan penjaga premis terbabit selepas disyaki terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak.
Terdahulu, 18 anak yatim yang dipercayai dianiaya termasuk dikurung dalam ruang sempit di premis itu turut diselamatkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). – KOSMO! ONLINE