Bagaikan ada suatu perkembangan yang ‘tidak sihat’ dalam senario sukan badminton tanah air hari ini. Di kala semakin menghampiri puncak, di kala itulah masing-masing makin mengendur atau akhirnya berpisah.
Ramai rata-rata terkejut apabila pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berpisah sedangkan baru bulan Januari lalu kita mendengar khabar gembira mereka mengecap kedudukan tertinggi dalam karier badminton mereka iaitu No.3 dunia.
Setelah bermula dengan ranking 147 ketika digandingkan sejak hujung tahun 2022, mereka bertungkus-lumus mendaki tangga demi tangga sehingga tiga tahun untuk mencapai kedudukan setinggi itu dan ketika hanya sedikit lagi menggapai takhta, mereka berpisah.
Perpisahan mereka mengingatkan kita kepada pasangan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang satu ketika dahulu pernah berpisah ketika hampir menembusi top 10.
Penyudahnya gara-gara perpisahan itu mereka kempunan tiket ke Olimpik yang sepatutnya sudah di genggaman.
Walhal saat perpisahan itu mereka sebenarnya sedang kuat dan mampu menewaskan banyak beregu jagoan cuma nasib kurang baik apabila mereka sering bertembung beregu tertentu yang liat dikalahkan sehingga sukar mara jauh dalam satu-satu kejohanan dan meruntuh motivasi.
Jangan samakan kita dengan negara-negara lain kerana kebanyakan beregu mereka berpisah ketika menuju puncak atau setelah mengumpul koleksi gelaran atas dasar eksperimen untuk membentuk gandingan lebih ampuh, bukan tiada persefahaman. Mereka ada banyak pilihan dalam top 20 yang mereka boleh rombak atau dipasang-pasangkan, kita sebaliknya perlu memulakan segalanya dari awal dengan diganding bersama pemain ranking puluh-puluh atau ratus. Itukah yang bagus?
Kelompongan ditinggalkan pemain No. 1 dunia, Zheng Siwei yang bersara seharusnya dilihat sebagai potensi untuk ‘ChenToh’ merebut takhta tetapi lain pula jadinya. Masih segar di pentas akhir World Tour Final Disember lalu bila ChenToh nyaris membuat Siwei diaibkan di penamat karier apabila Siwei-Huang
Yaqiong terpaksa bergelut rubber set.
Belum lagi magis kebangkitan yang mereka cipta mampu menang ke atas salah satu pasangan kuat China apabila ketinggalan 12-20 dalam satu kejohanan November lalu.
Adakah itu petanda bibit-bibit ketidaksefahaman?
Sekalipun dikatakan tidak ada persefahaman, mereka tidak seharusnya dianggap gagal atau tidak konsisten memandangkan mereka boleh dikatakan miliki prestasi agak baik pada tahun ini. Di saat ramai harapan negara kecundang, mereka antara wakil negara yang mara sampai ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka India 2025.
Hanya kerana tewas dua kali berturut-turut kepada satu gandingan scratch Indonesia baharu sehingga ‘pulang awal’ di Orlean Masters dan All England itu bukan ukuran prestasi menurun, sebaliknya Indonesia yang telah menemui gandingan tepat lebih menggerunkan.
Atas kertas, lawan mereka itu Gloria Widjaja-Rehan Naufal ranking 173 seolah-olah lekeh, tetapi hakikatnya Gloria itu ranking ke-8 dunia bersama rakan asalnya Dejan Ferdinansyah, manakala Rehan dan Lisa Kusumawati pernah di ranking 10. ChenToh pun tidaklah mempunyai rekod cukup baik ke atas Gloria dan pasangan.
Jangan pula nanti seperti FeiDin bila hanya pada Februari tahun ini membuka mulut dengan memberitahu perpisahan itu satu kesilapan dan sebenarnya didorong seorang individu lain. Sungguh buang masa dan rugi negara kerana hilang satu prospek emas Olimpik begitu saja.