SABAK BERNAM – “Harap (hukuman) penjara ini menginsafkan kamu, tanam semula sahsiah diri,”
Demikian tegas Majistret Siti Hajar Ali sebelum menjatuhi hukuman penjara sebulan terhadap pembantu kedai selepas mengaku salah menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayinya dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak, bulan lalu.
Hukuman penjara itu diarahkan berjalan bermula hari ini.
Tertuduh, Nur Alieya Danisha Muhd. Alif Subramaniam, 18, turut didenda RM5,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda tersebut.
Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, hukuman itu memadai selepas mengambil kira semua faktor penilaian dan pemberatan seperti umur tertuduh yang masih muda.
“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh telah insaf dan kesal atas perbuatannya. Namun, mahkamah berpendapat kepentingan awam perlu dititikberatkan tanpa meminggirkan kepentingan peribadi tertuduh yang masih muda.
“Hukuman ini bertindak sebagai pengajaran yang menginsafkan kepada tertuduh, malah sebagai pencegahan kepada rakan-rakan sebaya dan masyarakat mengenai hukuman berat akan menanti.
“Ia juga dapat memulihkan tertuduh dengan membentuk semula displin, mematuhi peraturan dan menanam semula sahsiah yang dapat mengubah sifat serta tingkah laku tertuduh yang berpadanan dengan norma masyarakat Madani,” katanya.
Nur Alieya didakwa membuang mayat bayi yang baru dilahirkan dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani pada pukul 11 pagi pada 23 Mac lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh tidak tahu dirinya mengandung tetapi berasa sakit perut seperti senggugut pada hari kejadian.
Apabila ke tandas stesen minyak, remaja itu secara tiba-tiba mendapati bayinya seberat 3.6 kilogram (kg) terkeluar dan jatuh ke dalam lubang.
Tertuduh yang panik segera membersihkan diri dan keluar dari tandas. Tertuduh mengesahkan tiada siapa terlibat dalam rancangan itu kerana ia berlaku secara mengejut.
Remaja itu menyatakan dia mengandung selepas diperkosa seorang lelaki yang baru dikenalinya dan tidak melaporkan kepada sesiapa mengenai kejadian jenayah tersebut kerana berasa takut.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhd. Muqri Mohd. Khairi dalam rayuannya berkata, anak guamnya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan tinggal bersama ibunya yang juga ibu tunggal.
“Kejadian ini merupakan pengalaman pertama dengan tertuduh tidak boleh berfikir secara waras dan bertindak melulu pada hari kejadian. Mohon hukuman denda sesuai dengan umurnya dan membentuk dirinya menjadi insan lebih baik pada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira kekerapan kes dengan ia melibatkan nyawa seorang bayi tidak berdosa.
Kosmo! sebelum ini melaporkan suasana di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar di sini, digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi di tandas wanita premis itu.
Lebih menyayatkan hati apabila mayat itu ditemukan orang awam dalam keadaan terlangkup dalam lubang tandas. -KOSMO! ONLINE