KUALA LUMPUR – Pengarah kejurulatihan perseorangan badminton negara, Kenneth Jonassen bimbang dengan aksi tidak konsisten dipamerkan Leong Jun Hao apabila ditunjukan jalan keluar sejurus tumpas pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 hari ini.
Pemain perseorangan lelaki negara di ranking ke-26 dunia itu bergelut untuk memperagakan kebangkitan sebelum tumbang kepada Lin Chun Yi dari Taiwan dengan keputusan 11-21, 19-21 di di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China sebentar tadi.
Jonassen bagaimanapun yakin masih ada ruang untuk memperbaiki prestasi Jun Hao dengan berpandukan analisis perlawanan dan data yang diperoleh.
Kekalahan itu juga menyaksikan rekod dua kemenangan terdahulu Jun Hao ke atas Chun Yi lebur, sekali gus menambah tekanan kepada pemain berusia 24 tahun itu.
“Jun Hao gagal menyaingi kelajuan dan kekuatan pukulan lawan. Lin (Chu Yi) mengawal bahagian depan sejak awal permainan ditambah dengan serangan bertenaga, menyebabkan dia bergelut.
“Jun Hao hampir mencipta kebangkitan luar biasa, tetapi kali ini nasib tidak menyebelahinya,” kata Jonassen .
Setakat ini, Jun Hao masih gagal melepasi pusingan 16 terbaik dalam enam kejohanan disertainya musim ini dan Jonassen akan mencari jalan membantu pemain muda tersebut.
“Saya memang tidak suka kekalahan. Tidak kira kecewa atau tidak, hakikatnya setiap kali tewas, ia sangat mengganggu fikiran saya.
“Kami akan teliti semua aspek utama dan cari jalan untuk perbaiki segala kelemahan. Buat masa ini, saya lihat semua lawan sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan Jun Hao, dan mereka susun strategi khas untuk ganggu rentaknya. Itu sesuatu yang kami kena pelajari,” ujarnya.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati status selaku pilihan pertama apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua BAC.
Pasangan No. 2 dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk menundukkan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-16, 21-18 pada pusingan pertama
Langkah cemerlang itu diteruskan satu lagi beregu lelaki kebangsaan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tidak berdepan masalah menyingkirkan gandingan Hong Kong, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-14, 21-12 dalam tempoh 26 minit. – KOSMO! ONLINE