fbpx

Buruh perkosa anak tiri dijel 30 tahun, 36 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa tertuduh (dua dari kiri) untuk didakwa atas tiga pertuduhan merogol anak tirinya di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini. - Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

PASIR MAS – Perbuatan keji seorang buruh yang merogol anak tirinya sehingga hamil lima bulan berbalas apabila dihukum penjara selama 30 tahun dan 36 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hukuman yang bermula dari 29 Mac lalu itu dijatuhkan terhadap tertuduh yang berusia 35 tahun selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak tirinya sejak daripada berusia 13 tahun sehingga mangsa berusia 17 tahun.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah kampung di Jeli dekat sini bermula Jun 2021, hujung Oktober 2024 hingga awal November 2024 dan Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh merogol anak tiri tanpa kerelaannya sejak berusia 13 tahun.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan mempunyai tiga anak tiri selain seorang anak kandung yang masih kecil malah berhasrat untuk berkahwin dengan mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 29 Mac lalu dan 36 sebatan. Bagaimanapun, sebatan maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang adalah sebanyak 24 sebatan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI