GUA MUSANG – Rekahan dan pergerakan tanah dikesan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini, pada Jumaat lalu selepas laluan tersebut runtuh akibat mendapan tanah semasa musim tengkujuh pada hujung November lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, kejadian itu berlaku dipercayai akibat cuaca hujan selain bebanan kenderaan berat yang melalui jalan lencongan sementara.
Katanya, pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut perlu berhati-hati ekoran permasalahan tersebut.
“Kita mendapat makluman bahawa pihak konsesi terlibat akan membaik pulih secepat mungkin rekahan tanah agar tidak berlaku lebih banyak runtuhan.
“Pengguna kenderaan terutamanya kepada lori dan bas yang melalui jalan itu perlu berhati-hati kerana sudah ada rekahan tanah dan lubang bahaya di kawasan tersebut,” katanya selepas meninjau laluan tersebut yang terletak di Simpang Kampung Jerek di sini kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Azmawi berkata, pihak konsesi juga akan memulakan kerja bagi membaik pulih cerun runtuh dan pembinaan jalan baharu di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli pada minggu depan.
Katanya, projek pembinaan jalan baharu itu dapat memberi kemudahan perhubungan kepada penduduk setempat dan pengguna jalan untuk berulang-alik.
“Laluan ini menjadi sangat sibuk semasa musim cuti dan perayaan. Penduduk tempatan dan pengguna jalan raya menggunakan laluan sementara yang strukturnya diperbuat daripada batu dan kayu balak sejak lebih dua bulan lalu.
“Jadi, saya harap pembinaan dan proses membaiki jalan ini dapat disegerakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna Jalan Gua Musang-Jeli,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi laluan utama kepada lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek di sini, runtuh akibat mendapan tanah pada 29 November tahun lalu.














