BEIJING – Seorang lelaki berusia 31 tahun menggunakan kepakaran dalam seni kaligrafi Cina untuk membayar hutang ibu bapanya berjumlah 20 juta yuan (RM6 juta), lapor portal berita South China Morning Post kelmarin.
Chen Zhao yang memiliki studio kaligrafi di bandar Wuhan dalam wilayah Hubei, tengah China melangsaikan hutang keluarga dalam tempoh tujuh tahun.
Sebelum ini, ibu bapanya mahu Zhao akan mengambil jurusan pengurusan perniagaan di peringkat universiti tetapi dia berkeras mengejar cita-cita untuk mahir dalam bidang kaligrafi.
Zhao sebaliknya meneruskan pengajian di Institut Seni Halus Hubei dalam jurusan kaligrafi sehingga 2016 sebelum membuka studio sendiri.
Bagi membantu keluarga, Zhao memberi tumpuan penuh kepada perniagaan kaligrafi termasuk membesarkan saiz studionya. Dia juga menaikkan yuran pengajian dan kini mempunyai lebih 300 pelajar.
Menjelang September 2024, lelaki itu melangsaikan semua hutang ibu bapanya.
“Apa membuatkan saya terharu kerana ibu bapa menyokong perniagaan kaligrafi saya. Mereka akur seni boleh menjana wang,” kata Zhao. – AGENSI