SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan kini sedang menyemak video tular memaparkan kerja-kerja pembinaan perumahan baharu di Sendayan yang dikatakan berhampiran dengan laluan paip gas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak kawasan kerja-kerja berkenaan sama ada sudah memasuki rezab jalan atau tidak.
“Laluan paip gas ini bukan di bawah Petronas, namun di bawah Gas Malaysia. Difahamkan, ia merupakan sambungan paip kecil dari paip besar ke kawasan industri sekitar serta terletak di rezab jalan.
“Papan tanda amaran memang ada diletakkan di situ. Saya sudah maklumkan kepada pemaju dan PBT untuk lihat kembali projek ini dan kerja-kerja berhampiran paip gas,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular video berdurasi 28 saat di media sosial memaparkan sebuah projek taman perumahan baharu di Sendayan didakwa dilakukan berhampiran laluan paip gas sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat kerana takut berlaku insiden kebakaran seperti di Putra Heights, Subang Jaya. – KOSMO! ONLINE