SUBANG JAYA – Umat Islam diingatkan agar tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum terhadap sesuatu perkara terutama melibatkan aspek akidah lebih-lebih lagi dalam situasi bencana.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkara berkenaan memerlukan toleransi dan tolak ansur antara masyarakat berbilang agama.
Katanya, dalam keadaan darurat seperti bencana, umat Islam seharusnya merujuk kepada pihak berkuasa agama terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan atau menimbulkan kekeliruan di media sosial.
“Hal seperti solat dalam kuil perlu dirujuk kepada pihak berkuasa agama. Sebenarnya sudah ada garis panduan dan nasihat yang dikeluarkan oleh jabatan agama,” katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar seorang lelaki menunaikan solat di dalam Kuil Sri Maha Kaliamman Putra Heights, Subang Jaya.
Ketua kuil, Murugeswaran berkata, pihaknya sedia membuka rumah ibadat itu kepada mangsa yang memerlukan tempat berteduh dan menyediakan pelbagai kemudahan asas. – KOSMO! ONLINE