GABUNGAN pelbagai konsep dalam hiasan dalaman semakin mendapat perhatian kerana ia memberikan keseimbangan antara kesederhanaan, fungsi dan keharmonian dalam ruang.
Bagi pemilik rumah teres corner lot di Gurun, Kedah, Ayu Juhanna Shuib, kombinasi tiga konsep iaitu klasik minimalis, Japandi dan bohemian atau boho chic menjadi pilihannya.
Klasik minimalis menekankan kesederhanaan dengan reka bentuk ringkas serta penggunaan perabot asas yang elegan tanpa elemen berlebihan.
Japandi pula menggabungkan warna hangat yang sering digunakan dalam rumah Jepun dengan warna sejuk yang menjadi ciri khas rekaan Scandinavia.
Sementara itu, boho chic menampilkan elemen bebas dan artistik dengan penggunaan tekstur semula jadi, corak etnik, tumbuhan hiasan dan perhiasan vintaj.
Menurut wanita berusia 33 tahun itu, gabungan tiga konsep ini menghasilkan suasana rumah yang tenang, kemas dan selesa buat keluarganya.
“Untuk menjayakan konsep ini, pemilik rumah perlu bijak menyelaraskan warna dan dekorasi agar tampak lebih serasi dan harmoni.
“Elemen seperti tikar buluh, kertas dinding serta lampu yang ringkas ditata dengan rapi bagi mencipta keseimbangan visual yang menyenangkan,” katanya kepada CitaRasa.
Dengan keluasan 600 kaki persegi, Ayu Juhanna berjaya mencipta kediaman yang bukan sahaja estetik tetapi juga praktikal untuk keluarganya.
Warna-warna neutral dipilih bagi mencipta suasana yang harmoni, manakala susun atur perabot yang ringkas memastikan rumah mudah diurus.
Selain itu, pencahayaan semula jadi juga dimanfaatkan untuk memberikan kesan ruang yang lebih luas dan lapang.

Ruang turut dihiasi dengan tumbuhan hiasan bagi menerbitkan suasana segar di dalam rumah. Antara ruang kegemaran Ayu Juhanna adalah ruang tamu, iaitu tempat utama keluarga berkumpul dan meluangkan masa bersama.
Kongsi wanita itu, susun atur yang ringkas dan tidak terlalu sarat dengan perabot menjadikannya lebih mesra keluarga, terutama dengan kehadiran anak kecil.
“Untuk ruang tamu, saya pastikan ia tidak terlalu padat dengan perabot tetapi tetap selesa dan menarik.
“Pendekatan ini menjadikan ruang lebih mesra dan sesuai untuk keluarga dengan anak kecil seperti saya,” katanya.
Ayu Juhanna turut menyuntik elemen sentimental dalam dekorasi rumahnya dengan mengekalkan beberapa perabot dan perhiasan warisan keluarga. Selain itu, beberapa barangan do it yourself (DIY) yang dihasilkannya sendiri memberi sentuhan peribadi kepada ruang kediaman.
Elemen-elemen ini bukan sahaja menambahkan estetika tetapi juga memberikan makna mendalam kepada setiap sudut rumah.
Proses dekorasi dilakukan secara berperingkat berdasarkan keperluan dan inspirasi semasa. Ini membuktikan bahawa rumah yang cantik tidak semestinya memerlukan bajet besar jika pemilik bijak dalam perancangan dan pemilihan elemen yang sesuai.
“Untuk mencipta kediaman yang selesa dan menarik, pemilik rumah tidak semestinya berbelanja besar.
“Sebaliknya, pemilihan warna, susun atur yang bijak serta penggunaan elemen yang sesuai sudah cukup untuk mencipta ruang kediaman yang harmoni dan menyenangkan,” katanya.














