SUBANG JAYA – Segelintir ibu bapa yang juga mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights di sini, meluahkan rasa bimbang sekiranya sesi persekolahan yang bermula esok selepas cuti selama seminggu sempena Aidilfitri akan ditangguhkan.
Seorang suri rumah, Siti Nadiah Mohd. Nasir berkata, dia masih mencari alternatif untuk menghantar tiga anaknya ke sekolah esok selepas kenderaannya musnah dalam kebakaran pada Selasa lalu.
“Buku dan pakaian sekolah semuanya musnah terbakar, tetapi anak-anak saya teruja hendak ke sekolah. Motosikal dan kereta juga tidak boleh digunakan jadi bagaimana hendak hantar mereka ke sekolah.
“Sekiranya tiada pengangkutan, mungkin mereka (anak-anak) terpaksa ponteng selama beberapa hari,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini semalam.
Siti Nadiah berharap pihak berkaitan dapat menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pelajar sekolah yang berlindung di PPS.
“Memang ada (mangsa) yang dapat kereta, tapi jumlahnya tidak ramai. Kalau hendak tumpang sekalipun, sekolah lain-lain tempat.
“Ada yang (belajar) di sekolah vokasional, prasekolah, sekolah rendah dan menengah,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori, Shahrulnizam Saleh, 50, turut meluahkan perasaan sama sekiranya anaknya tidak dapat meneruskan sesi persekolahan seperti biasa esok.
Selain barangan kelengkapan sekolah, duit bagi tujuan kecemasan sebanyak RM1,000 yang disimpan di dalam rumahnya turut musnah dalam kebakaran dahsyat tersebut.
“Setakat ini, alhamdulillah majikan beri kelonggaran ambil cuti sehingga keadaan pulih. Cuma saya kasihan akan anak-anak kerana dia mahu pergi ke sekolah. Kita pun tidak tahu bila ia akan selesai.
“Duit simpanan pun tak banyak memandangkan saya baru berhabis membeli kelengkapan sekolah anak bulan lepas selain pulang beraya baru-baru ini,” ujarnya.
Anak sulung Shahrulnizam, Muhammad Danish Danial, 19, yang akan memulakan semester baharu di sebuah kolej di Kuantan, Pahang mengakui sedih apabila komputer ribanya tidak dapat diselamatkan dalam kejadian kebakaran tersebut.
“Semua tugasan dan maklumat penting ada dalam komputer riba. Memang sedih bila jadi begini, tetapi saya masih bersemangat untuk memulakam semester baharu,” katanya.
Bagi Fazida Zakaria, 44, tragedi yang menimpa keluarganya pada hari kedua Aidilfitri tersebut tidak mematahkan semangat anaknya untuk kembali ke sekolah esok.
“Kami bernasib baik kerana ada barangan kelengkapan sekolah anak-anak yang sempat diselamatkan, hanya kereta yang terjejas teruk.
“Beberapa hari sudah lalu, kami ada menerima bantuan kenderaan lagipun pihak sekolah juga sudah memberi kelonggaran untuk anak-anak. Mereka boleh memakai baju biasa ke sekolah,” katanya.














