Inspirasi daripada melihat drama bersiri berkaitan perubatan membuatkan Narnia Enny, 20, memasang niat untuk menjadi dermatologist (pakar sakit kulit) pada masa akan datang.
Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia jatuh cinta kepada bidang tersebut setelah melihat pelakon yang menjadi doktor dalam drama bersiri berkenaan melakukan pembedahan.
Bercakap kepada Kosmo! Ahad, anak kelahiran Kapit, Sarawak itu berkongsi perancangannya bagi merealisasikan cita-citanya, sekali gus mengikuti jejak langkah ibunya yang turut bekerja dalam bidang perubatan.
KOSMO! AHAD: Boleh kongsi latar belakang pengajian?
NARNIA: Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kapit sebelum berpindah ke Miri ketika berumur 10 tahun. Saya sekolah menengah di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang sebelum ke Matrikulasi Labuan dan sambung pengajian ijazah di MSU.
Boleh kongsikan personaliti awak?
Saya seorang introvert dan datang daripada keluarga yang disiplin. Waktu dibangku sekolah, keluarga tidak benarkan saya keluar malam dan sesuka hati dengan kawan. Cuma waktu belajar di universiti, baru saya belajar untuk bersosial dengan orang sekeliling. Cumanya, saya agak berhati-hati dalam memilih kawan.
Hobi pada masa lapang?
Saya suka main permainan video Mobile Legend dan Roblox. Selain itu, saya suka layari media sosial dan boleh layar sosial sehingga empat hingga lima jam lamanya.
Suka buat apa apabila balik kampung?
Saya akan masuk hutan bersama datuk dan nenek saudara lebih kurang dua hingga tiga jam untuk mengutip hasil hutan.
Orang macam mana awak tidak suka?
Saya tidak suka orang yang menipu kerana mereka ini susah untuk dipercayai. Depan kita, mereka baik tetapi di belakang kita, dia cakap buruk pasal kita. Untuk lelaki pun sama juga. Saya tidak suka lelaki yang suka menipu.
Awak suka lelaki macam mana?
Saya suka lelaki matang kerana mampu membawa diri ke mana-mana dengan baik dan mampu menghadapi apa-apa situasi. Mereka juga akan sentiasa kekal rasional dengan keputusan yang mereka buat.
Mengapa pilih bidang sains?
Saya bercita-cita menjadi dermatologist kerana terpengaruh dengan beberapa drama perubatan seperti The Doctor, The Good Doctor dan ER. Saya suka tengok babak doktor membuat pembedahan ke atas pesakitnya, lebih-lebih lagi berkaitan perubatan kulit.
Apa pandangan anda pelajar kurang minat perubatan?
Selalunya mereka tidak dapat keputusan baik dalam SPM. Bidang ini memang susah kerana ia lebih menuntut komitmen seseorang apabila dia bekerja.
Ada pengalaman raya?
Saya pernah terima duit raya walaupun saya tidak sambut Aidilfitri. Saya ziarah beberapa kawan Muslim di Miri. Saya amat menghargai duit raya yang diberi itu sebagai simbolik persahabatan di antara saya dengan anak mereka.














