fbpx

Kebakaran saluran paip gas: 100 rumah sementara ditawar kepada mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (dua kanan) ketika simbolik penyerahan kunci kereta daripada Chery Malaysia.

SUBANG JAYA – Seramai 100 keluarga mangsa insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights bakal menerima rumah sementara menerusi skim SMART Sewa Selangor.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kerajaan negeri akan menanggung sebahagian kadar sewaan bagi meringankan beban mangsa.

Namun, katanya lokasi kediaman sementara itu masih dalam proses untuk dikenal pasti.

“Fokus utama kami sekarang adalah mencari penempatan yang lebih selesa berbanding pusat pemindahan sementara (PPS), kerana ia hanya bersifat sementara.

“Kami akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan termasuk sektor swasta dan hotel bagi menempatkan mangsa secara lebih tersusun dan selesa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah beliau, proses pemulihan kawasan kediaman asal mangsa dijangka mengambil masa dan perbincangan lanjut akan dibuat bersama Petronas serta agensi-agensi berkaitan.

“Perkara ini sedang dipercepatkan dan kami berharap dapat menempatkan mereka sebelum sesi persekolahan bermula.

“Matlamatnya ialah memastikan setiap mangsa mempunyai tempat tinggal yang lebih selesa dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyerahkan kereta daripada syarikat automotif, Chery Malaysia kepada 25 mangsa kebakaran saluran paip gas.

Menurut Amirudin, penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pinjaman kenderaan selama sebulan kepada mangsa yang terjejas, dengan kerjasama beberapa syarikat automotif.

“Sehingga pagi ini, sebanyak 112 permohonan telah diterima daripada individu yang ingin meminjam kenderaan, dengan tawaran sebanyak 200 buah kereta disediakan secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI