KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mendedahkan terdapat pusat hiburan di seluruh negara yang dijadikan ‘port’ untuk penagih melepaskan gian mengambil dadah jenis jus, syabu, heroin dan ganja.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pihaknya telah mengenal pasti pusat hiburan tersebut untuk penagih dadah berkumpul melakukan kegiatan tidak bermoral berkenaan.
Mendedahkan perkara itu, beliau berkata, penagih tidak lagi berkumpul di bangunan kosong untuk mengambil dadah.
“Trend baru ini kita kesan, mereka mula menjadikan pusat hiburan sebagai ‘port’ baharu mereka untuk mendapatkan dadah dan mengambil dadah.
“Kita kesan mereka mengambil dadah jenis jus, syabu, heroin dan ganja di pusat hiburan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini semalam.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya akan menjalankan operasi besar-besaran bagi menggempur aktiviti tidak bermoral berkenaan.
“Perkara ini dikesan bukan sahaja di ibu kota malah di seluruh negara, ini trend terbaru lokasi penagihan dadah.
“Kita sudah kenal pasti pusat hiburan yang terbabit, ada banyak di ibu kota, satu operasi akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya. -KOSMO! ONLINE