LIVERPOOL – Dakwaan jaringan ofsaid dan terjahan keras membayangi kemenangan 1-0 Liverpool pada aksi derbi Merseyside menentang Everton di Anfield awal pagi semalam.
Pada aksi itu, Diogo Jota muncul sebagai watak penting kepada The Reds dengan menyumbangkan gol tunggal perlawanan sambil pengendali Liverpool, Arne Slot enggan mengulas lanjut tentang kekasaran James Tarkowski terhadap Alexis Mac Allister.
“Alexis berada dalam keadaan baik kerana dia sudah terbiasa dengan keadaan seperti itu memandangkan dia datang dari benua Amerika Selatan. Saya fikir orang sudah bercakap tentang insiden berkenaan.
“Ia sangat jelas, saya tidak perlu lagi mengulas mengenai kejadian yang dihadapi oleh Alexis sebaliknya saya lebih suka untuk bercakap tentang jaringan dan prestasi Curtis Jones atau pun perkara lain.
“Kami akan memenangi liga,” kata pengurus dari Belanda itu yang mengharungi debut sempurna di Liga Perdana Inggeris sejak menggantikan Jurgen Klopp.
Selepas mengharungi 30 perlawanan, Liverpool yang berada di puncak liga memiliki kelebihan 12 mata berbanding Arsenal di tempat kedua sekaligus beri harapan yang lebih besar buat penyokongnya untuk melihat trofi sulung selepas era Klopp.
Dalam masa sama, Slot menyataan pendiriannya yang tidak begitu gemarkan peraturan ofsaid membabitkan jaringan Jota, namun lebih menghormati keputusan yang dibuat oleh pengadil bertugas.
“Jaringan itu tidak ofsaid mengikut peraturan. Adakah saya suka peraturan ini, jawapannya tidak. Saya bencikan peraturan itu, tetapi kami bernasib baik pada perlawanan kali ini,” katanya. – AGENSI