MANTAN pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan memberikan sebarang komen lanjut berhubung spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan jawatan penasihat teknikal Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Cheng Hoe akui gembira sekiranya mendapat peluang untuk menabur khidmat kepada bola sepak negara kerana tujuan utama adalah melihat peningkatan mampu dijelmakan pasukan kebangsaan.
Dari segi pengalaman, Cheng Hoe sudah pun terbukti memiliki kemampuan, malah ketika membimbing skuad Harimau Malaya, beliau berjaya meningkatkan kedudukan ranking Malaysia dalam carta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya enggan komen tentang perkara ini, kalau ada rezeki adalah,” katanya secara ringkas berhubung spekulasi yang timbul mengaitkan namanya dengan jawatan penasihat teknikal Harimau Malaya.
Menerusi laporan media tempatan semalam, Cheng Hoe yang pernah membimbing kelab Thailand, Police Tero FC ditawarkan jawatan sebagai penasihat teknikal Harimau Malaya dan dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, berita ini lebih bersifat spekulasi memandangkan tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkenaan, namun kepakaran yang ada pada Cheng Hoe wajar dimanfaatkan sepenuhnya.
Ketika ini Cklamovski mempunyai tanggungjawab besar untuk memacu Harimau Malaya layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut dimana Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.














