fbpx
Antara kenerak terbesar yang saya (kanan) daratkan menggunakan gewang iaitu seberat sembilan kilogram.

Mengilat ‘ikan purba’ Sungai Jelai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ikan kenerak ini tidak asing bagi pemancing tegar di Sungai Pahang. Mereka arif mengenai strategi terbaik untuk memancing ikan ini. Kebiasaannya dengan pancing dasar, namun ikan ini sebenarnya juga boleh ‘digoda’ menggunakan gewang.

Dalam artikel ini, saya mengkhususkan bagaimana cara paling efektif untuk mendapatkanikan kenerak dengan menggunakan umpan palsu (gewang).

Makan gewang
Walaupun mengilat ikan kenerak ini dikira sudah lama dilakukan oleh ramai pemancing, namun ia sebenarnya tidaklah selama spesies ikan pemangsa lain seperti haruan, sebarau dan toman yang ramai sudah mengilatnya sejak puluhan tahun dahulu.
Pada awalnya, kebanyakan pemancing kena ikan kenerak dengan menggunakan gewang adalah secara tidak sengaja, bukannya sebagai target utama. Kebiasaannya, mereka dapat secara tidak sengaja ketika mengilat ikan sebarau yang diketahui juga berlegar di kawasan berarus laju untuk menyergap mangsanya.
Apabila kunci rahsianya dibuka satu persatu dalam banyak artikel yang pernah keluar di dalam majalah-majalah pancing yang pernah terbit di negara ini, ia telah membuatkan ramai caster sudah mahir memburunya menggunakan gewang berbanding teknik pancing dasar.

Lokasi
Boleh dikatakan, ikan ini tinggal di kawasan berbatu, berkayu atau bercegar yang berarus laju dalam sungai.
Ikan ini sememangnya boleh bertahan di kawasan berarus laju kerana profilnya telah dibuat oleh Yang Esa. Anda boleh perhatikan badannya yang memanjang dengan kepala besar dan ekor bercabangnya menandakan ia spesies ikan mudah menongkah dan bertahan di arus deras.

Gewang warna garang dan terang amat efektif ketika kondisi air sungai keruh.

Bentuk kepalanya yang bersesungut dengan siripnya kembang dengan mudah sahaja menyangkutkan dirinya di celah-celah batu-batuan sungai di arus deras tersebut. Jadi, tidak hairanlah ia suka bertapa di dasar sungai yang berarus laju.
Anda tidak perlu membuang masa mengilat di lubuk-lubuk yang dalam dan tenang kerana kenerak amat jarang tinggal di lokasi sebegitu.
Masalah yang paling besar, gewang macam mana yang anda perlu gunakan dan dengan set pan­cing seberapa kuat yang diperlukan?
Kemudian, bagaimana caranya anda memainkan gewang supaya sampai ke zon serangan kenerak dan teknik menaikkannya di habitat berarus deras dan diselubungi segala macam struktur yang boleh membuatkan anda pulang dengan tangan kosong?

Jenis gewang
Kenerak merupakan spesies yang aktif di dasar sungai sahaja, tidak seperti sebarau, toman atau begahak yang aktif di segenap kolum air. Oleh itu, gunalah gewang selaman dalam yang mampu menyelam dari tiga hingga ke enam meter.
Paling penting, anda harus memastikan gewang yang digunakan dapat menyelam rapat hingga ke dasar sungai. Bahasa paling mudah difahami adalah menyodok dasar.
Paling bagus, anda boleh rasa bibir gewang mengetuk di dasar sungai, jika tidak rasa ketukan di dasar sungai, sila tukar gewang yang boleh menyelam lebih dalam lagi sehingga anda dapat rasa ia meniti dasar sungai.
Warna gewang yang paling efektif adalah rona garang seperti oren, hijau atau merah. Kenerak sangat ‘marah’ dengan warna-warna gewang yang terang ini.
Gewang tersangkut struktur adalah perkara normal dalam game kenerak ini, jadi untuk mengelakkan kejadian yang boleh merugikan, anda harus bersedia dengan lure retriever (alat penyelamat gewang).

Teknik karau gewang
Kenerak merupakan ikan yang suka menempel di dasar sungai dan tidak aktif bergerak. Ia selalunya hanya menunggu mangsa lalu di depan muka ketika mencari makan. Oleh itu, anda harus karau gewang dengan perlahan agar ia sempat mengesan gewang yang dimainkan.
Ikan kenerak boleh membesar sehingga puluhan kilogram.
Oleh itu, seeloknya gunakanlah set mengilat yang kasar dan kuat ketika memburu kenerak. Joran berkekuatan 30 paun ke atas disarankan agar dapat menahan asakan kenerak di arus laju.
Kekili pula paling bagus adalah model kelajuan rendah kerana me­ngarau gewang selaman dalam di arus laju sangat membebankan. Penggunaan kekili berkelajuan tinggi akan menyebabkan anda cepat lenguh dan letih.
Tali pula disarankan 30 ke 60 paun kerana dasar sungai yang berstruktur bakal membuatkan tali pancing mudah terputus jika gewang tersangkut reba.

Semoga berkekalan
Kenerak merupakan spesies ikan yang unik dan istimewa. Ia seolah-olah spesies ikan purba, sebab itulah ia seharusnya perlu dilindungi agar tidak pupus di habitatnya.
Sememangnya cabaran meman­cingnya cukup menghiburkan, namun ia perlu dilepaskan semula atau ambil hanya yang ingin dimakan sahaja, tidak perlu ditapau semuanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN