MUAR – Seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai tidak memiliki lesen memandu maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Semasih, Persimpangan Kampung Sri Tanjong, Panchor, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 4.35 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang remaja berusia 17 tahun bergerak dari arah Jalan Semasih menghala ke Panchor.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal tersebut melanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang datang dari arah Panchor sedang membelok masuk ke kanan melalui susur masuk simpang Kampung Tanjong.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal yang tiada lesen memandu disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kemalangan itu boleh tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Daerah Muar bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE