PETALING JAYA – Ayat yang paling sedih sekali Adik Isma cakap, ‘Kita tak ada siapa doh (doh), tinggal kita seorang ja’.”
Itu perkongsian individu iaitu salah seorang penjaga di sebuah pusat kebajikan mengenai Adik Isma yang merupakan anak yatim piatu.
Menggunakan profil @Perkaya Marang, hantaran di media sosial itu memaklumkan, Adik Isma terdahulu tinggal bersama abangnya, namun dia sudah meninggal dunia.
Katanya, Allahyarham meninggal dunia di dalam tandas surau dan kisah berkenaan masih diingati sehingga kini.
“Di akhir Ramadan ini, teringat ke Adik Isma ni macam (mana) la dia beraya nanti.
“Ya Allah, hanya tuhan sahaja yang tahu hati dan perasaan masa tu, bukan mudah menjaga anak-anak yatim ini. Sayangilah mereka semua ini,” katanya.
Perkongsiannya itu mengundang pelbagai respons orang ramai termasuk yang berminat untuk mengambil Adik Isma sebagai keluarga angkat.
“Macam mana nak ambil anak yatim piatu seorang. Nak mama saya ambil anak angkat sebab saya anak tunggal, tak ada kawan,” ujar @miecoffeehouse.
“Mari dik duk (tinggal) dengan acik dik. Acik pun ada jaga tiga anak yatim yang kematian ibu,” komen @Aziey Izzah.
Namun menerusi ruangan komen juga, seorang wanita tampil memaklumkan bahawa Adik Isma kini berada di bawah jagaannya.
“Jangan risau dia bawah jagaan dan tinggal dengan saya. Saya hanyalah sepupu dia.
“Insya-Allah, sedikit kebaikan kita lakukan di atas dunia pasti ada ganjaran di akhirat kelak. Jangan risau tentang rezeki yang Allah dah aturkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE