MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola muncul sebagai calon berpotensi dilantik sebagai ketua jurulatih Brazil selepas Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) memecat Dorival Junior semalam.
Dorival, 62, ditunjukkan jalan keluar selepas maruah juara dunia lima kali itu tercalar teruk gara-gara kekalahan memalukan 1-4 kepada musuh tradisi, Argentina dalam kelayakan Piala Dunia 2026 awal minggu ini.
Prestasi Selecao juga antara faktor pemecatannya apabila hanya menang lima daripada 15 perlawanan sejak dilantik pada Januari 2024 termasuk disingkirkan oleh Uruguay pada suku akhir Copa America 2024.
Presiden CBF, Ednaldo Rodrigues dikatakan menyenaraikan nama Guardiola dalam senarai pendek tiga jurulatih termasuk Carlo Ancelotti (Real Madrid) dan Jorge Jesus (Al-Hilal).
Ia susulan kenyataan Guardiola yang pernah mendedahkan keinginannya untuk mengendalikan skuad kebangsaan sebelum beliau melanjutkan kontraknya di Stadium Etihad.
“Saya berminat latih pasukan kebangsaan untuk Piala Dunia atau Kejohanan Eropah. Apabila saya mulakan tugas ini (bidang kejurulatihan), saya tidak pernah terlintas memenangi liga atau Liga Juara-Juara Eropah.
“Mungkin selepas ini saya boleh merasai pengalaman mengharungi Piala Dunia, Euro atau Copa America,” kata Guardiola.
Memandangkan prestasi City begitu mengecewakan musim ini, CBF mungkin boleh cuba memujuk Guardiola bergelar jurulatih skuad kebangsaan seperti digalas Thomas Tuchel ketika ini bersama England.
Biarpun dikatakan berminat dengan khidmat Guardiola, namun Ancelotti dipercayai kekal sebagai pilihan utama disebabkan ramai bintang Brazil beraksi di bawah kendaliannya di Real Madrid ketika ini. – AGENSI