“SAYANG, ya sayang. Nak bawa baju berapa pasang? Ikut you sayang. Eh! Kuih raya dah beli ke sayang? Aduh mak sayang, okey okey I beli sekarang. Cepat!”
Itu antara bait lirik lagu Meriah Lain Macam dendangan Hael Husaini dan Adeera yang menjadi siulan ramai.
Bukan sekadar hiburan, lirik lagu ini secara tidak langsung menjadi ‘self reminder’ kepada kita agar melakukan persiapan awal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Jika dihitung, hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi 1 Syawal bakal menyusul.
Kepada yang mahu pulang beraya di kampung, penulis percaya pasti sudah mula berkemas apa yang patut. Tidaklah nanti sampai masa kereta mahu bergerak baru teringat itu dan ini belum dimasukkan dalam beg.
Kepada yang belum berkesempatan membeli baju raya dan keperluan lain, jangan panik. Masih sempat terjah butik dan kedai.
Peniaga juga pada masa inilah berlumba-lumba buat ‘sale’. Lihat sahajalah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang menjadi tumpuan warga kota, sesak.
Makin dekat raya, makin ‘menggila’ promosi dilakukan peniaga. Sana-sini dakwa ‘harga runtuh’, mahu tidak menggelupur kaki ‘shopping’ keluar daripada sarang.
Baru-baru ini misalnya acara Absolute bazar 2025 yang berlangsung selama 66 jam tanpa henti di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) menjadi lubuk rezeki jenama-jenama terkenal dan selebriti popular tempatan.
Jualan dalam talian juga tidak kurang hebatnya. Sebulan dua sebelum puasa lagi pelbagai jenama pakaian berlumba lumba mengeluarkan koleksi raya.
Majoriti laku keras, sekejap sahaja sudah ‘sold out’. Siapa lambat alamatnya berputih mata, pasti kena tunggu koleksi seterusnya atau cari jenama lain pula.
Ada yang murah, ada juga harga kayangan sehingga sehelai baju mencecah RM600 hingga RM800. Jangan tak percaya, demi mahu nampak cantik persis Erra Fazira dan Nora Danish di pagi raya, ada yang sanggup berhabis. Tak kisahlah baju cecah RM1,000 atau lebih, janji cantik!
Dalam pada itu, ramai juga ‘naik hantu’ apabila beberapa jenama terkenal gagal memenuhi jangkaan. Tak perlulah penulis petik nama jenama itu, tengok sahaja perkongsian pembeli dalam TikTok. Memang kecoh!
Mereka tidak puas hati apabila baju yang sampai ke tangan berbeza dengan gambar. Senang cerita, ‘order lain, yang sampai pula lain’. Mahu tidak angin satu badan, orang sudah ‘feeling’ nak jadi seanggun Erra Fazira dan Nora Danish sekali lain pula jadinya.
Ada juga dapat baju koyak, satu hal pula kena hubungi jenama itu untuk ganti baru. Lebih parah yang sudah lama ‘order’ dan buat pembayaran, namun barang belum sampai sedangkan raya dah dekat.
Mahu tak resah empunya badan sampai ada yang terpaksa beli sepasang lagi baju sebagai ‘backup’. Semua perkongsian di atas, bajunya harga kayangan.
Netizen pun main peranan tambah minyak, daripada kasihan sudahnya mengekek ketawa baca komen. Aduhai, itulah antara corat-coret persiapan Aidilfitri 2025. Harap tidak lagi berulang tahun depan. – KOSMO! ONLINE














