GEORGE TOWN – Peniaga di bazar Ramadan yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman secara tidak munasabah disifatkan sebagai zalim dan dilarang dalam Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, tindakan pengusaha menaikkan harga jualan dengan sesuka hati, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan adalah bercanggah dengan etika dan akhlak seorang peniaga Muslim.
Menurutnya, dari sudut hukum, perbuatan peniaga terbabit termasuk yang menjual makanan secara ala kadar tanpa menjaga kualiti boleh dikategorikan sebagai suatu bentuk ghaban fahish (penipuan harga yang melampau).
“Islam menekankan kejujuran dan keadilan dalam perniagaan. Sabda Rasulullah: Barang siapa menipu, maka dia bukan dari kalangan kami (Hadis Riwayat Muslim).
“Kategori penipuan ini termasuklah penjual yang sengaja mengeksploitasi pembeli dengan harga melampau atau mengurangkan kualiti makanan demi keuntungan yang tidak berakhlak, seterusnya bercanggah dengan etika peniaga Muslim yang sebenar,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, dalam Islam, peniaga mempunyai tanggungjawab untuk memberikan barang yang berkualiti dan memenuhi hak pelanggan.
“Firman Allah dalam Surah al-Mutaffifin bermaksud: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam menimbang dan menyukat).
“Mereka yang apabila menerima timbangan daripada orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup. Tetapi apabila mereka menimbang atau menyukat untuk orang lain, mereka mengurangi,” ujarnya.
Beliau mengulas mengenai tindakan sebilangan peniaga di bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka dengan harga yang tidak masuk akal sehingga mengundang kemarahan pengguna.
Malah katanya lagi, peniaga yang kedekut dengan inti atau lauk sehingga makanan tidak sepadan dengan harga yang dikenakan juga termasuk dalam perbuatan tatfif (mengurangkan hak orang lain), yang boleh dikategorikan sebagai zalim.
“Dalam Islam, menaikkan harga boleh berlaku kerana faktor ekonomi seperti permintaan tinggi atau kos bahan mentah meningkat.
“Namun, menaikkan harga dengan tujuan mengeksploitasi pembeli, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan, adalah tidak beretika dan boleh menjadi haram jika menzalimi pengguna,” jelasnya.
Justeru, ujarnya, peniaga bazar Ramadan sepatutnya mengambil peluang dalam bulan mulia ini untuk mencari rezeki dan bukannya menipu atau mengeksploitasi pengguna.
“Berniaga dengan adil dan jujur bukan sahaja mendapat keberkatan tetapi juga menarik pelanggan yang setia. Rezeki yang halal dan berkat lebih utama daripada keuntungan besar yang tidak diredhai Allah,” katanya.
Pada 18 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, seorang individu terkejut apabila dikenakan harga RM10 hanya untuk secawan air limau asam boi sewaktu membelinya di bazar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan individu menjual minuman terbabit termasuk mihun sup pada harga RM20 di lokasi sama merupakan peniaga haram. -KOSMO! ONLINE















