fbpx
Pembelian baju raya secara berhutang untuk memenuhi tuntutan sosial akan memberi beban hutang.

Hutang beli baju raya demi OOTD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOS sara hidup yang semakin meningkat membuatkan persiapan membeli baju raya menjadi lebih mencabar.

Tidak dinafikan gaya dan corak pakaian yang dijual semakin menarik, tetapi harganya boleh membuatkan kita garu kepala, lebih-lebih lagi kepada ketua keluarga yang perlu menyediakan kelengkapan untuk semua.

Godaan untuk membeli barangan yang kelihatan cantik di mata memang sukar ditepis, ditambah pula dengan penawaran pelbagai skim pembayaran ansuran yang kini tersedia.

Siapa sangka waktu sekarang pakaian raya pun boleh dibayar secara ansuran, lengkap dengan pelan pembayaran dalam tempoh masa tertentu berserta syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Namun perlu berhati-hati kerana terdapat pelan yang mengenakan caj bagi pembeli yang lewat membayar setiap bulan.

Penawaran seperti ini membuatkan golongan yang kuat melaram, namun bajet ‘ciput’ terjatuh ke dalam jerat yang dicipta sendiri.

Mereka tidak kisah berhutang untuk membeli baju raya yang dirasakan cantik ketika sesi OOTD (berfesyen) di pagi Syawal nanti.

“Alah, tiada orang yang tahu. Lagipun, ansuran selama setahun, berapa sangat yang perlu dibayar setiap bulan,” kata mereka.

Menurut Pakar Kerja Sosial Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, jika diperhatikan dari aspek pengurusan kewangan, penggunaan kaedah pembayaran ansuran tanpa bayaran pendahuluan seperti yang ditawarkan di platform-platform online boleh menyebabkan pembeli tidak menyedari jumlah keseluruhan yang akan dibayar.

“Keadaan ini akan menjadi lebih teruk lagi kerana pembeli terjerat dengan hutang yang tidak terkawal menyebabkan berkemungkinan besar mereka berbelanja melebihi kemampuan,” katanya.

Malah ujarnya, pembelian baju raya secara berhutang untuk memenuhi tuntutan sosial atau menunjukkan status boleh membawa kepada perasaan tidak puas hati dan penyesalan.

“Ini kerana trend setiap tahun akan berubah dan menyebabkan seseorang itu terus berhutang tanpa menilai keperluan sebenar berdasarkan sumber kewangan yang ada,” ujarnya.

Tambah Mohd. Suhaimi, antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan berlaku perbelanjaan di luar kawalan adalah dengan menyediakan bajet khusus untuk perbelanjaan raya dan mematuhi bajet tersebut.

“Ini penting bagi mengelakkan pembelian secara ‘impulsive’ dan memastikan kewangan kita diuruskan dengan baik.

“Kita perlu meluangkan masa untuk menilai sama ada setiap pembelian tersebut adalah keperluan atau sekadar kehendak mengikut nafsu semata-mata,” katanya.

Pakaian raya hanya dipakai sekali dalam setahun atau cuma beberapa kali ketika menghadiri majlis perkahwinan.

Berbaloikah kita membeli secara ansuran selama setahun untuk pakaian yang akan lusuh setelah dicuci berulang kali hanya semata-mata mahu OOTD di pagi raya. Penting untuk kita mengukur baju di badan sendiri, malah apa yang penting, jangan amalkan sikap ‘biar papa asal bergaya’.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN