PUTRAJAYA – Keluarga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus hadir ke Mahkamah Rayuan di sini, hari ini bagi memberi sokongan pada hari kedua prosiding rayuan melibatkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Kedua ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz hadir dengan ditemani dua orang anaknya kira-kira pukul 9.25 pagi tadi.
Bagaimanapun, kelibat pelakon Bella Astillah dilihat belum tiba di Mahkamah Rayuan untuk memberikan sokongan kepada Syed Saddiq yang dijangka bermula pada pukul 10.30 pagi nanti.
Semalam, Mahkamah Rayuan memaklumkan bahawa tiada keputusan akan dibuat berhubung rayuan Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, menyatakan demikian ketika prosiding bermula pada jam 12.15 tengah hari semalam.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan bahawa hujahan bagi kedua-dua pihak akan dijalankan selama dua hari, iaitu pada semalam dan hari ini.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada. – KOSMO! ONLINE