Jika dahulu, bidang perikanan dipelopori oleh kaum Adam, namun seiring dengan arus kemodenan masa, semakin ramai golongan wanita berkecimpung dalam bidang akuakultur.
Doktor Intan Faraha A. Ghani antara nama yang kerap ‘timbul’ jika anda ingin berbicara secara ilmiah berkaitan bidang akuakultur di negara kita.
Beliau bertugas sebagai pensyarah kanan dan penyelidik di Universiti Selangor (Unisel) di Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat. Pada masa sama, beliau juga memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Sumber di fakulti tersebut.
Dalam episod dua Podcast Gewang, Dr. Intan hadir sebagai tetamu bagi bercerita mengenai kepentingan konservasi dan pemuliharaan biodiversiti ikan asli tempatan dan ancaman spesies ikan pendatang.
Antara spesies ikan yang menjadi subjek kepada penyelidikan beliau adalah ikan bandaraya iaitu spesies ikan pendatang yang hangat diperkatakan ketika ini.
Latar belakang
Merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Agroteknologi (Akuakultur) di Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Intan turut melanjut pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Biologi Ikan/Akuakultur di Universiti Putra Malaysia
Dr. Intan memulakan kerjayanya sebagai juruteknik akuakultur di Blacktiger Aquaculture dari Julai 2007 hingga Julai 2008.
Pada Ogos 2008, beliau menyertai Unisel sebagai pensyarah dan penyelidik. Kini, beliau telah berkhidmat selama lebih 16 tahun dalam bidang pendidikan tinggi.

Bidang kepakaran dan penyelidikan
Bidang kepakaran Dr. Intan merangkumi sains perikanan, ekologi ikan, biologi ikan, biodiversiti marin, sains akuatik dan pengurusan akuakultur.
Beliau telah menerbitkan lebih daripada 20 penerbitan dengan lebih 10,000 bacaan dan 83 sitasi, sekali gus menunjukkan sumbangan signifikannya dalam bidang akuakultur.
Penerbitan dan sumbangan akademik
Antara hasil kerja terkini beliau termasuk kajian mengenai spesies ikan invasif di Malaysia, impak ekologi dan sosioekonomi ikan air tawar bukan asli, serta pembangunan primer eDNA spesifik spesies untuk pemantauan spesies invasif.
Beliau turut terlibat dalam penyelidikan mengenai komposisi diet dan strategi pemakanan spesies ikan tenggalan (Puntioplites bulu) di Sungai Perak.
Komuniti dan pendidikan
Selain bertugas sebagai pensyarah dan penyelidik, Dr. Intan aktif dalam berkongsi ilmu dengan komuniti.
Beliau pernah terlibat dalam program Pleco Quest yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai ancaman ikan bandaraya di Malaysia
Beliau juga menggunakan platform dalam talian untuk berkongsi bahan pendidikan seperti pembentangan mengenai Sains untuk pelajar di tingkatan lima.
Dengan pengalaman dan kepakaran yang luas dalam bidang perikanan serta akuakultur, Dr. Intan terus memberikan sumbangan sains akuatik dan pendidikan di Malaysia. Syabas.
















