KUALA LUMPUR – Dua pemain warisan baharu, Hector Hevel dan Gabriel Palmero menanti untuk diumumkan secara rasmi sebagai anggota baharu Harimau Malaya apabila sudah pun menyertai latihan rasmi.
Menerusi satu ciapan di Instagram Malaysia National Team, kelibat Hevel dan Palmero dilihat sudah turun ke padang sambil dipantau oleh Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain yang turut membantu Peter Cklamovski pada latihan pusat kali ini.
“Pemain Malaysia dari luar negara sudah pun tiba, selamat datang kepada Hector Hevel dan Gabriel Palmero,” tulis ciapan Instagram skuad kebangsaan, malaysia_nt.
Skuad Harimau Malaya ketika ini sedang melakukan persiapan rapi menjelang aksi pembuka tirai Kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Sebelum ini, pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan bahawa calon pemain warisan baharu sudah melaporkan diri pada 31 Januari lalu.
“31 Januari semua sudah lapor. Cuma menunggu kelulusan kerajaan saja. Malas nak bising-bising,” tulis Tunku Mahkota Ismail. – KOSMO! ONLINE