PETALING JAYA – Pengusaha bas mengakui mereka juga ‘tersepit’ apabila terpaksa berdepan kos operasi yang tinggi seperti gaji pemandu dan penyelenggaraan bas, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas Se-Malaysia, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, sehingga kini hampir 30 syarikat pengusaha bas terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos operasi.
Katanya, semua pihak tidak seharusnya menyalahkan pengusaha bas semata-mata atas kenaikan harga tiket, sebaliknya melihat secara menyeluruh kos operasi yang ditanggung.
“Sewa stesen bas kita (pengusaha bas) pun kena bayar. Musim perayaan pula, kadar bayaran gaji lebih masa semua perlu ambil kira. Barang semua dah naik, sama macam harga hotel, harga kapal terbang.
“Ini (tiket bas) guna sistem free-flow. Musim perayaan bukan sahaja tiket bas, semua pun harga naik. Asyik nak tekan pengusaha bas, itu penyebab banyak syarikat gulung tikar,” katanya.
Menurutnya, pengguna mempunyai pilihan untuk menaiki bas ekspres jenis ekonomi mahupun ekskutif bergantung kepada bajet masing-masing.
Katanya, setiap bas ekonomi telah ditetapkan harganya, manakala bas eksekutif harganya mungkin berbeza-beza kerana kemudahan yang disediakan.
“Kerajaan tetapkan kadar siling tambang bas ekonomi berbeza dengan bas eksekutif. Jadi kalau tengok harga yang mahal, itu semua jenis eksekutif, harganya padan dengan kemudahan.
“Kalau pengguna rasa naik bas eksekutif mahal, naiklah bas ekonomi atau boleh naik pengangkutan lain seperti kereta api, kongsi kereta dan lain-lain,” katanya.
Seorang pengusaha bas ekspres yang ingin dikenali sebagai Zamarul Hisham berkata, dengan penyelarasan harga diesel, ia memberikan tekanan kepada syarikat sepertinya untuk bertahan.
Katanya, menjelang Aidilfitri, terdapat pengangkutan tambahan jenis bas persiaran akan digunakan bagi menampung permintaan pelanggan.
“Tetapi bas persiaran, kita tak dapat subsidi diesel. Sebab tu harga saat-saat akhir lagi mahal. Lagi pula, pemandu musim perayaan ini, mereka tidak mahu terima bayaran yang kita tawarkan.
“Sebab utama adalah mereka (pemandu) kena hadap jalan sesak. Kalau tinggi (bayaran), baru mereka bawa. Kalau tak, mereka cari syarikat yang tawar gaji tinggi,” katanya.
Ujarnya, kos-kos lain yang perlu ditanggung seperti insurans, bas rosak dan penyelenggaraan, menjadikan harga tiket terpaksa dinaikkan RM20 ke RM30 bagi menampung operasi.
“Kami pun tersepit juga, susah nak bertahan, tapi apakan daya ini sahaja punca rezeki. Harap kerajaan dapat membantu kami,” katanya.
















