Rasanya sudah lama kita tidak mendengar lagu raya terkini berentak zapin yang kuat auranya sehingga ke Itali. Itulah yang terjadi kepada ‘halwa telinga’ raya terbaharu bertajuk Raya Nak Ke Mana dendangan biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin ciptaan Aisha Retno.
Sejak pemergian Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah, ramai dahagakan lagu-lagu raya berentak tradisional penuh kesantunan Melayu yang mencipta fenomena. Aisha nampaknya ‘ada bibit-bibit ke arah itu’.
Disebabkan sentuhan ‘menjadi’ Aisha itu, ramai jugalah yang meminta agar Aisha membuat lagu-lagu tradisional selepas ini bagi menyemarakkan semula irama Malaysia yang kian malap.
Sebaik diluncurkan, lagu Raya Nak Ke Mana menduduki carta itunes No.1 dan pantas mendaki tontonan di YouTube sehingga trending No.4 hanya dalam tempoh tiga hari dilancarkan dengan jumlah tontonan lebih setengah juta setakat ini.
Lebih menarik, dalam tempoh dua hari sahaja diluncurkan, lagu tersebut sudah bergema di bumi Eropah apabila satu kumpulan penari zapin mempersembahkan tarian menggunakan lagu Raya Nak Ke Mana di Sicily, Itali. Gembira rasanya apabila melihat lagu Melayu menerima tepukan daripada orang luar yang menontonnya.
Penulis percaya, suatu persembahan jauh di luar negara pasti melibatkan perancangan awal, dan pemilihan lagu yang masih terlalu baharu menunjukkan betapa pantasnya lagu itu menakluki dan ‘merasuki’ pejuang irama tradisi dan zapin. Cepat mereka buat kerja ya.
Che’Kem penulis lirik lagu Nirmala yang pernah bekerjasama dengan Pak Ngah turut memuji karya Aisha itu sekali gus menunjukkan Aisha seorang yang berbakat.
“Lagu raya ciptaan Aisha Retno itu memang segar. Bijak lagu itu ada banyak elemen klasik dan tradisi dimasukkan contohnya ‘maafkan kami’, taqsim dan kopak marwas,” katanya menerusi aplikasi X.
Penulis melihat lagu ini berbekalkan kekuatan irama zapinnya mempunyai ‘roh’ imarah ziarah hari raya yang kuat. Sebab itu, ramai merasakan lagu ini membangkitkan nostalgia dan semangat konvoi raya sekeluarga. Biarpun mempunyai tajuk yang agak simple, ia sebenarnya bagai satu statement tepat bahawa ‘raya ke mana kita hari ini?’ memang satu persoalan utama yang akan timbul sebaik sahaja kita celik mata di setiap pagi raya.
Aisha seorang komposer yang genius. Biarpun sudah berzaman kita mendengar nyanyian ikonik trio legenda Pendekar Bujang Lapuk ‘maafkan kami, maafkan kami’, tetapi tidak ada siapa antara kita menyedari potensinya untuk diadaptasi kepada lagu raya yang sinonim kemaafan.
Penggunaan sebutan ‘raye’ dan ‘mane’ yang menjurus kepada dialek Johor-Riau yakni tempat zapin popular pula menunjukkan lagu ini mempunyai tuju jelas.
Seorang netizen meninggalkan komen pada video muzik lagu tersebut.
“Lagu raya paling ‘Melayu’ dekad ini. Dengan lagu zapinnya, muzik ghazalnya, petikan gambusnya, sebutan lirik dialek Melayu Johor-Riaunya, mesti lagu ini trending ke kota-kota Melayu jiran-jiran termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.”
Ya, itu terbukti apabila netizen-netizen satu Nusantara membanjiri video muzik tersebut yang menebarkan kedamaian sebuah perayaan, kemerduan biduanita sebuah negara serta keindahan satu irama tradisi ke seluruh mayapada.