PETALING JAYA – Tema baju raya yang paling menjadi pilihan dikatakan bertemakan warna merah pulasan (burgundy) kerana pakaian warna ini paling ramai dicari tahun ini.
Rata-rata peniaga menyatakan stok pakaian berwarna itu semakin susut dan sesetengah saiz baju pula sudah habis dijual.
Tinjauan Kosmo! bersama peniaga-peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) mendapati warna burgundy merupakan warna yang paling laris dijual dan cepat habis.
Seorang pekerja butik, Umairah, 25, menyifatkan kegilaan orang ramai terhadap warna tersebut bukan bermula baru-baru ini, malah ia menjadi permintaan yang tinggi sebelum bulan Ramadan lagi.
Tambahnya, meskipun permintaan yang tinggi bermula sebelum puasa lagi, bilangan baju berwarna merah pulasan itu tetap menjadi antara koleksi edisi terhad akibat stok yang semakin berkurang.
“Semua baju yang berwarna burgundy memang akan menjadi pilihan orang ramai tanpa mengira jenis baju,” ujarnya.

Kata seorang peniaga lagi, yang mahu dikenali Fahmi, 30, warna tersebut menjadi permintaan orang ramai setiap kali berkunjung ke kedai jualannya.
“Walaupun kedai ini menyediakan banyak pilihan baju raya berwarna burgundy dan sering menambah kuantitinya, ia tetap habis terjual dalam waktu yang singkat.
“Kebanyakan orang yang memilih warna burgundy, merah tidak kisah dengan harga yang mahal, asalkan warna tersebut ada,” katanya.
Dia turut berkata, rekaan baju yang menjadi pilihan ramai adalah jenis kurung Kedah yang menyerlahkan kecantikan di pagi Syawal.
Selain warna burgundy terdapat warna-warna yang juga turut menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk bergaya di Aidilfitri seperti ungu, hijau zaitun dan coklat .














