SHAH ALAM – Seorang wartawan portal Malaysiakini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah RM20,000 berkaitan artikel kartel pekerja asing Pakistan, bulan lalu.
Tertuduh, B. Nantha Kumar, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Nantha didakwa menerima wang tunai RM20,000 daripada seorang lelaki warga Pakistan sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik mana-mana artikel berkaitan sindiket kartel di pekerja asing warga Pakistan di portal Malaysiakini.
Kesalahan itu dilakukan di Hotel Concorde di sini, kira-kira pukul 11.45 malam pada 28 Februari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alis Izzati Azurin Mohd. Rusdi mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada pejabat SPRM yang terdekat sekali setiap bulan.
Tertuduh yang diwakili peguam P. Purshotaman merayu nilai jaminan sebanyak RM5,000 mengambil kira anak guamnya menyara isteri dan dua anak berusia 11 dan 18 tahun.
“Malah anak guam saya menggandaikan nyawa sendiri untuk membantu kerajaan Malaysia (bagi membongkar kes sindiket ini). Tetapi dia tidak menyangka akan dihadapkan mahkamah berhubung hal ini,” tegasnya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan 23 April depan. – KOSMO! ONLINE