fbpx

‘Baca al-Quran 50 muka surat sehari, khatam sempena hari jadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERJAYA khatam al-Quran ketika 10 hari pertama Ramadan menjadi satu pencapaian berharga buat Nora yang kebetulan menyambut ulang tahun kelahiran ke-43 pada 7 Mac lalu.

PETALING JAYA – Khatam al-Quran 10 hari pertama Ramadan, pelakon Nora Danish menyifatkan itu merupakan hadiah paling bermakna sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-43 pada 7 Mac lalu.

Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif, berkata perkara tersebut sebagai pencapaian luar biasa apabila mampu menyempurnakan bacaan dalam minggu awal Ramadan, apatah lagi dilaksanakan buat pertama kali secara berkumpulan.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai tadarus, di mana kami berjaya khatam dalam tempoh 10 hari. Setiap hari, kami membaca lebih daripada 50 muka surat al-Quran.

“Saya kira ini adalah pencapaian yang sangat berharga dalam hidup saya, sekali gus menjadi hadiah ulang tahun kelahiran saya tahun ini.

“Kami memulakan bacaan pada hari pertama Ramadan bersama seorang ustaz hafiz dan kira-kira 30 orang sahabat lain. Ini satu pengalaman luar biasa,” katanya dalam satu video wawancara.

Ibu kepada dua anak itu berkata, usia bukan penghalang untuk seseorang lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan melakulan pelbagai perkara baik.

Bahkan Nora juga enggan berputus asa dalam mencari reda Yang Maha Esa, sekali gus terus istiqamah ke arah menjadi muslimah yang baik.

“Walaupun usia sudah menjengah 40-an, belum terlambat untuk kita memaksa diri melakukan kebaikan, termasuk membaca al-Quran.

“Saya bersyukur Allah membuka pintu hati saya sebelum saya meninggalkan dunia ini. Betul, memang belum terlambat untuk kita berusaha menjadi insan lebih baik.

“Saya sendiri mengaku, dahulu saya jahil, tetapi saya berusaha menjadi lebih baik. Allah Maha Mendengar. Seeloknya kita segera bertaubat kerana pengakhiran kita itu yang lebih penting,” ujarnya.

Sebelum ini, pelakon drama Langit pernah beberapa kali khatam al-Quran ketika bulan puasa namun disempurnakan sendirian, bukan secara tadarus berkumpulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI