PETALING JAYA – Seorang wanita berbangsa Cina berkongsi pengalamannya sebagai sukarelawan selama lapan tahun di Masjid Al-Istighfar, Pasir Ris, Singapura yang pada awalnya bermula dengan semangkuk bubur yang diberikan oleh seorang kanak-kanak perempuan.
Wanita dikenali sebagai Suzanna Cheong, 67, itu merupakan bekas guru dan dia akan turun padang pada setiap kali Ramadan.
Perkongsian itu telah dikongsikan di X oleh @Kamaghul yang menjadi inspirasi kepada orang ramai.
“Lapan tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan datang kepada saya di Stesen MRT Pasir dengan semangkuk bubur.
“Saya tersentuh dengan keikhlasannya dan ingin tahu dari mana dia datang serta mengapa dia melakukan itu.
“Pada keesokan harinya, dia datang ke masjid dan disambut dengan mesra oleh jemaah masjid yang lain,” kongsinya.
Walaupun tidak berpuasa seperti sukarelawan lain, wanita itu tetap kagum dengan semangat mereka yang menjalankan tugas dengan penuh bertenaga.
“Sukarelawan lain di sini tetap menjalankan tugas walaupun mereka berpuasa sejak pagi. Saya rasa sumbangan saya tidaklah sebesar mereka,” katanya.
Menurut Suzanna, dia disambut dengan baik dan tiada layanan berbeza yang diberikan walaupun dia merupakan satu-satunya individu berbangsa Cina di sana.
“Tiada siapa yang berkata, awak orang Cina jauhi saya. Saya tidak rasa berbeza. Saya benar-benar rasa seperti di rumah di sini,” katanya.
Baginya, setiap bulan mempunyai keistimewaan tersendiri, tetapi Ramadan lebih bermakna kerana ia memberi peluang kepadanya untuk berinteraksi dengan masyarakat beragama Islam dengan lebih dekat. – KOSMO! ONLINE