PETALING JAYA – Seorang imam masjid di Turkiye mencuri perhatian ramai apabila melayan kerenah kanak-kanak dengan bermain sorok-sorok di dalam masjid.
Menerusi video yang dikongsi oleh di media sosial, kelihatan kanak-kanak berlari riang di dalam masjid sebelum dikejar oleh imam bagi mencipta suasana riang dan ceria.
Tindakan imam tersebut dilihat sebagai usaha membina hubungan baik serta menarik minat kanak-kanak untuk kerap mengunjungi masjid.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna membezakan suasana masjid di Turkiye dengan di Malaysia.
“Masjid Malaysia siap ada peringatan awasi anak-anak jangan bising..siap pakej tak boleh tidur dekat masjid,” komen @Rajatempur.
“Di Malaysia tak boleh.. ‘rules’ (peraturan) dia setebal buku ‘Harry Potter’,” kata @Mr.nasriminho.
“Kalau dekat Malaysia Ahli JawatanKuasa (AJK) surau terpaling ‘entitle’ dalam surau tu. Budak kena asing duduk belakang sekali. Lepas itu bising, budak budak zaman sekarang tak nak pergi surau atau masjid,” balas @Maimoremuah_.
Namun, ada juga pengguna yang mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka di masjid.
“Masa saya umur lima ke enam tahun..kita main dekat masjid. Hari-hari pergi masjid banyak aktiviti, mengaji lepas itu mewarna, ada jamuan kecil dapat air kotak… best, tetapi sekarang dah tak ada,” luah seorang pengguna.
“Dulu masa saya kecil-kecil, ustaz masjid pun main macam ni jugak. Al-Fatihah untuk ustaz yang didik saya dengan ilmu al-Quran,” kata seorang lagi pengguna.
Setakat ini, hantaran tersebut telah menerima 31,800 tanda suka, 741 komen dan 2,087 perkongsian. – KOSMO! ONLINE
@zayan.my Seorang imam masjid di Türkiye melayan kerenah kanak-kanak dan turut serta bermain sorok-sorok di dalam masjid. Ia merupakan usaha untuk mereka membina hubungan yang lebih mendalam dan tarik minat untuk ke masjid. Sumber: @islamchannel #ZAYANShare ♬ original sound – ZAYAN