MELIHAT kandungan sosial media pada masa kini, dapat dilihat bahawa anak-anak hari ini semakin menunjukkan nilai yang membimbangkan.
Situasinya ini seolah-olah mereka terlena dan terlupa, akan maruah, harga diri, nilai budi dan iman.
Lebih membimbangkan adalah golongan lelaki yang semakin ghairah menonjolkan diri bukan sahaja menayang badan, tetapi turut menunjukkan aksi menghairahkan dan seks di media sosial.
Dari pemerhatian, banyak kandungan di platform media sosial terutama dari golongan anak muda menjadikan elemen seks sebagai modal untuk mendapat perhatian (sex sells).
Anak muda termasuk Melayu dan Islam tidak malu menayang aurat termasuk di bulan mulia, Ramadan hanya kerana ingin menunjuk sosok badan yang kekar.
Malah, ada yang bangga dengan kandungan lucah atau dikenali dengan terma dark side (DS) atau mengaku hubungan songsang dan secara terbuka memuat naik ke akaun mereka.
Mengapa ini terjadi, adakah maruah dan harga diri bukan lagi sesuatu yang perlu dijaga dan dipertahankan.
Merujuk kepada artikel penulisan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norafizah Janang, anak muda zaman ini lebih cenderung kepada pergaulan bebas dan mementingkan kebebasan sosial berbanding batas ikhtilat yang telah disyariatkan oleh Islam.
Pendedahan kepada sosial media dan situasi Fear of Missing Out (FOMO) merupakan antara punca kepada gejala ini berlaku.
Tanpa sedar ia menjadi barah dalam masyarakat dan secara tidak langsung mencemarkan maruah agama, keluarga, pendidik dan juga para sahabat seagama.
Mereka hanya menganggap maruah dan tingkah laku yang buruk itu bukan lagi menjadi kepentingan bahkan hanya menjadi sekadar perhiasan atas nama sahaja.
Jika ini berlarutan, banyak natijah buruk yang bakal menimpa generasi akan datang, bukan sahaja meningkatkan isu sosial tetapi juga gejala penyakit jangkitan seks seperti HIV dan lain-lain.
Tidak hairan juga, situasi sosial di Malaysia akan menjadi seperti di negara barat di mana perlakuan seks dilakukan secara terang-terangan di depan khalayak.
Malah, seks menjadi kebiasaan dan bukan sesuatu yang perlu dicegah atau dielak.
Paling membimbangkan buat generasi akan datang, membuat kandungan sosial media yang mengghairahkan adalah sesuatu yang biasa.
Bagi mengelakkan situasi ini daripada menjadi barah, tindakan awal untuk pencegahan perlu dilaksanakan sebelum ia tidak boleh dikawal.
Kerajaan perlu menilai situasi sosial media dan merangka undang-undang bersesuaian bagi membendung perkara ini.
Selain penguatkuasaan undang-undang, gerakan kesedaran perlu dilakukan dengan menekankan kepentingan menjaga maruah diri dari digadai kerana duit dan populariti.
Beberapa akses sosial media yang menjadi rumah anak muda menjaja maruah juga perlu diteliti dan kandungan perlu ditapis dengan ketat atau sebaiknya diharamkan untuk muat turun.
Kawalan perlu ada dari punca bagi memastikan generasi akan datang tidak meneruskan budaya Dark Side yang tidak bermoral. -KOSMO! ONLINE















