KEMAMAN – Seorang lelaki berusia 53 tahun melecur pada bahagian tangan dalam kebakaran melibatkan tujuh buah rumah teres dua tingkat termasuk kediamannya di Taman Alam Perdana, Binjai, di sini, hari ini.
Kebakaran pada pukul 7.55 pagi itu turut memyebabkan tiga buah kereta serta sebuah motosikal milik penduduk terlibat hangus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohamad Hanif Che Khalid, berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kebakaran terbabit.
“Sebaik kami tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di bahagian depan dan parkir beberapa buah rumah teres berkenaan.
“Seorang lelaki didapati melecur pada kedua-dua bahagian tangan dan dia telah dikejarkan ke Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohamad Hanif berkata, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal api kebakaran.
Beliau berkata, lima daripada tujuh buah rumah itu mengalami kerosakan yang teruk pada bahagian hadapan rumah. – KOSMO! ONLINE