JURANG kualiti antara kedua-dua pasukan tidak pernah melalaikan pemain Selangor FC menjelang pertemuan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.
Pengendali The Red Giants, Katsuhito Kinoshi juga percaya lawan dari Kelantan itu tidak akan ‘sedekah’ mata buat pasukannya sekali gus menuntut pemain kekal fokus sepanjang masa.
“Saya tidak akan beri perhatian kepada mana-mana pemain lawan tetapi lebih kepada berpasukan. Mereka bermain 5-4-1 dan menerapkan elemen serangan balas, jadi kami perlu berwaspada dengan cara permainan mereka.
“Saya tidak katakan pasukan kecil kerana mereka juga profesional. Walaupun kedudukan di bawah, tidak bermakna mereka mahu berikan kami tiga mata dan saya percaya pasukan lawan tetap mahukan kemenangan.
“Ini adalah perlawanan antara dua pasukan profesional menentang satu sama lain,” katanya.
Dalam masa sama, Kinoshi juga mengharapkan kemenangan agar memastikan Selangor mampu menamatkan kempen musim ini di kedudukan kedua bagi mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) musim depan.
Buat masa ini, The Red Giants kini berada di tangga kedua dengan 43 mata, namun sedang dicabar hebat oleh Sabah FC yang ketinggalan lapan mata.
“Saya hargai sokongan (penyokong) kepada pemain dan pasukan, jadi sekarang kami perlu berikan jawapan. Kami perlu hormati pasukan lawan.
“Bagi saya, kami hanya perlu fokus untuk dapatkan tiga mata, tidak kiralah berapa keputusan akhirnya nanti,” katanya.