KUALA LUMPUR – Sektor swasta diminta untuk menyediakan dasar kerja yang lebih fleksibel dan peluang kepimpinan yang lebih terbuka dalam usaha kerajaan memperkasa golongan wanita negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula perlu terus menjadi suara dalam memperjuangkan hak wanita.
“Langkah utama yang diambil kerajaan adalah meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus, di samping memperkenalkan peluang pekerjaan yang mesra keluarga untuk menyokong keseimbangan antara kehidupan profesional dan peribadi.
“Usaha memperkukuhkan perlindungan terhadap keganasan rumah tangga dan gangguan seksual juga perlu diteruskan bagi memastikan wanita dapat hidup dalam persekitaran yang selamat dan bebas daripada ancaman.
“Langkah strategik perlu diambil untuk mengarusperdanakan pemerkasaan wanita dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi, sains, teknologi, dan kepimpinan, agar lebih ramai wanita berpeluang memegang peranan penting dalam membuat keputusan dan mencorakkan hala tuju negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2025 hari ini.
Nancy menambah, meskipun usaha dalam memperkasa wanita terus diperhebat, namun beliau mengakui banyak cabaran yang perlu ditempuhi antaranya adalah, penyertaan wanita dalam tenaga buruh masih rendah, dengan hanya 56.2 peratus berbanding lelaki iaitu 82.3 peratus.
Sehubungan itu, kata Nancy, Program Perantisan Wanita (Perantis) diyakini akan membantu melahirkan pemimpin wanita masa depan.
Beliau memberitahu, pada tahun lepas, Perantis telah menerima 354 permohonan dengan 25 program yang telah diluluskan yang akan memberi manfaat kepada 1,247 peserta. – KOSMO! ONLINE