PETALING JAYA – Hubungan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi, Bella Astillah dilihat semakin ‘mekar’ ketika mengadakan pertemuan bersama peminat mereka hari ini.
Pertemuan yang diadakan di sebuah butik fesyen terkemuka itu dilihat menjadi tarikan utama buat peminat pasangan itu hadir beramai-ramai bagi merebut peluang bergambar bersama.
Selain itu, siaran langsung di TikTok juga meraih lebih 20,000 tontonan sekali gus membuktikan penangan kolaborasi antara Syed Saddiq dan Bella.
Dalam pertemuan hari ini, Syed Saddiq dan Bella yang mengenakan pakaian sedondon berwarna coklat menyapa para peminat yang digelar ‘Team BASS’ (Team Bella Astillah dan Syed Saddiq).
Syed Saddiq turut menceritakan detik mereka berdua digandingkan bersama sebagai model fesyen pakaian raya.
“Bella yang menghubungi saya dahulu bertanya adakah mahu berkolaborasi jadi model. Masa itu saya tak tahu jenama apa.
“Tapi saya terkejut, rupa-rupanya saya orang keempat Bella telefon untuk mengajak kolaborasi. Siapa orang pertama, kedua, ketiga itu kena tanya Bella. Tapi apa-apapun, nombor berapa tak kisah, yang penting pengakhirannya,” kata Syed Saddiq.
Kata-kata itu sekali gus membuatkan para peminat semakin ‘bersemut’ dan mendoakan agar pasangan tersebut merealisasikan hubungan ke jenjang pelamin.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila Syed Saddiq dipilih sebagai model pakaian sebuah jenama tempatan.
Syed Saddiq mencuri perhatian ramai apabila digandingkan dengan pelakon dan penyanyi, Bella selain didakwa sedang menjalinkan hubungan istimewa. – KOSMO! ONLINE