KUALA TERENGGANU – Pengendali Sabah FC, Martin Stano hampa skuad kendaliannya mensia-siakan kelebihan dua gol awal apabila diikat tuah rumah, Terengganu FC (TFC), 2-2 pada aksi Liga Super malam tadi.
Beliau berkata, skuad The Rhinos turun ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan misi meraih tiga mata sekaligus mengesahkaan posisi tempat ketiga Liga Super lebih awal.
“Pemain sudah menunjukkan kesungguhan yang baik. Kami berjaya menekan lawan dan menjaringkan dua gol awal tetapi kesilapan ketika bertahan telah menghukum kami.
“Kesilapan berlaku tetapi ia tanggungjawab berpasukan secara keseluruhan tanpa perlu menyalahkan mana-mana pemain secara individu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sabah selesa mendahului 2-1 untuk membawa pulang tiga mata penting namun kesilapan penjaga gol, Damien Lim membolehkan TFC menyamakan kedudukan menerusi sepakan sudut Safawi Rasid ketika aksi berbaki enam minit.
Stano berharap kesilapan yang menyebabkan mereka kempunan meraih tiga mata penuh terbabit dijadikan pengajaran untuk diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya.
Sabah kini menghuni kedudukan ketiga liga dengan 36 mata dan dihimpit TFC yang mengumpul 32 mata untuk kedudukan keempat seterusnya Kuching City FC di tangga kelima dengan 30 mata. – KOSMO! ONLINE