fbpx

Jun Hao tak goyang jumpa jaguh Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mahu menjadikan kemenangan ke atas bintang Indonesia, Jonatan Christie sebelum ini sebagai peletus semangat buatnya ketika kembali bertembung di pusingan pertama Kejohanan Badminton All England minggu depan.

Jun Hao yang bakal membuat penampilan sulung di kejohanan berprestij berstatus Super 1000 itu mengakui cabaran di Arena Utilita, Birmingham nanti cukup sengit, namun tetap optimis untuk memberikan persembahan terbaik pada kejohanan bermula 11 hingga 16 Mac ini.

“Memang undian kali ini agak sukar kerana semua pemain yang bertanding berada di tahap tertinggi. Berdepan Christie di pusingan pertama bukan tugas mudah memandangkan dia adalah juara bertahan.

“Oleh itu, saya perlu buat persiapan terbaik menghadapinya. Apapun, kemenangan sebelum ini ke atas Christie memang memberi kelebihan dari segi keyakinan. Saya akan cuba gunakan pengalaman itu dalam perlawanan nanti.

“Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana saya mengawal permainan kerana segalanya bergantung kepada aksi minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.

Atas kertas, Jun Hao yang menduduki ranking ke-26 dunia memiliki rekod pertemuan positif ke atas Christie yang berada di kedudukan ketiga dunia apabila menang dua daripada tiga pertemuan tahun lalu.

Jun Hao menang ketika Terbuka Indonesia dan Masters Kumamoto di Jepun yang menyaksikan dia muncul naib juara.

Selain Jun Hao, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki di All England kali ini turut digalas pemain profesional, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang pernah muncul juara pada edisi 2021 akan membuka tirai saingan menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI