SUNGAI PETANI – Seorang lelaki obesiti yang sebelum ini hanya mampu terlantar di katil kini boleh menjalani kehidupan normal selepas berjaya menurunkan berat badan daripada 300 kilogram (kg) kepada 116 kg dalam tempoh masa lima tahun.
Mohd. Irfan Abd. Wafti, 40 dari Kampung Titi Serong, Sungai Yan, Yan dekat sini berkata, sebelum ini hanya mampu mengesot untuk ke bilik air selain menghabiskan masa dengan duduk dan berbaring .
Menurutnya, detik hitam dalam hidupnya bermula pada 2014 selepas dia terjatuh dalam bilik air dan mengalami sakit lutut sehingga tidak boleh berjalan.
Katanya, berikutan itu dia hanya duduk berehat di rumah hampir setahun menyebabkan berat badan naik daripada 280kg kepada 300kg.
“Sebelum sakit, saya bekerja sebagai pembantu katering milik arwah ayah, namun selepas kejadian saya tidak bekerja.
“Apa yang saya mampu lakukan ialah duduk di atas tilam sehinggalah nasib saya mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu.
“Alhamdullilah, saya tak sangka kehidupan saya semakin baik selepas dibantu individu berkenaan. Ibu saya antara orang yang paling gembira dengan perubahan ini,” katanya di sini semalam.
Natipah berkata, Mohd. Irfan kini salah seorang penghuni di Rumah Qaseh Budiman, Gurun yang dinaunginya.
“Saya mengenalinya pada 2016 dan mengambil masa selama empat tahun untuk memujuk Mohd. Irfan mengubah minda dan pendiriannya sehingga dia bersetuju untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dengan bantuan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak bomba.
“Dia menjalani rawatan di HSB dan Hospital Pulau Pinang dengan pelbagai kaedah rawatan perubatan seperti suntikan dan pembedahan bariatrik serta penjagaan diet seimbang,” katanya.
Katanya, dia bersyukur selepas lima tahun berjuang kini keadaan fizikal Mohd. Irfan sudah semakin baik berbanding dahulu dan tidak terlantar di katil, selain boleh berjalan menggunakan tongkat.














